Monday 23 June 2014

HOBI SAYA

      Hobi ialah sesuatu yang kita gemar lakukan terutama ketika waktu lapang. Setiap insan di muka bumi ini pasti mempunyai hobi yang tersendiri termasuklah saya. Kita perlulah memilih hobi yang baik dan berfaedah supaya boleh mendatangkan banyak manfaat kepada kita. 

      Hobi saya ialah membaca. Saya gemar membaca pelbagai bahan bacaan yang dapat menghiburkan serta memberikan impak yang positif kepada saya seperti novel dan majalah. Saya banyak mengumpulkan koleksi novel daripada pelbagai novelis yang mempunyai gaya dan teknik penulisan yang kreatif dalam menyampaikan luahan karya mereka. Di sini, saya ingin berkongsi satu novel bersiri pengembaraan yang menjadi kegemaran saya. Saya memperolehnya sebagai hadiah hari lahir yang ke-12 daripada adik lelaki saya. Ia bertajuk "7 Pintu Ajaib" karya Sofea Ixora.  

                
     
                        
      Pada saya, novel ini sangat sesuai untuk dibaca oleh kanak - kanak dan remaja kerana banyak mengandungi nasihat dan pengajaran yang berguna. Novel ini mengisahkan tentang pengembaraan seorang remaja lelaki yang berusia 15 tahun bernama Tajul mencari penawar untuk ayahnya dalam hutan terlarang yang dipanggil Hutan Waris Jati. Banyak peristiwa menarik berlaku pada Tajul di dalam hutan itu. Tajul perlu melintasi tujuh buah pintu untuk mendapatkan penawar bagi ayahnya. Setiap pintu mempunyai cabaran yang berbeza. Pelbagai pengalaman masa kini dan masa depan dilalui oleh Tajul. Hanya yang benar - benar berniat baik dapat keluar dan pulang semula selepas memasuki hutan tersebut. Dengan keikhlasan dan tujuan Tajul yang murni, Tajul berjaya keluar daripada hutan itu dan membawa pulang penawar bagi penyakit ayahnya. Ayah Tajul berjaya disembuhkan dengan penawar sakti itu. 

      Daripada sinopsis di atas, kita dapat mempelajari bahawa setiap yang kita lakukan dengan tujuan haruslah disertakan dengan niat dan hati yang ikhlas agar tidak terpesong daripada jalan ke arah kebenaran. Membaca merupakan satu hobi yang tidak dapat disangkal manfaatnya. Banyak ilmu pengetahuan yang kita peroleh walaupun hanya daripada sebuah buku. Ilmu yang kita perolehi sebaik - baiknya dimanfaatkan dengan cara yang betul. Kita sebagai umat manusia sewajarnya menuntut ilmu sementara masih berpeluang. Sesungguhnya menuntut ilmu itu merupakan antara tiga amal yang utama di muka bumi ini selain jihad dan usaha kerja. Tuntutlah ilmu sebanyak mana yang mampu kerana penuntut imu itu ibarat kekasih Allah.
  

No comments:

Post a Comment